Sabtu, 6 Jun 2009

GENERAL MOTORS MUFLIS


Oleh Ku Seman Ku Hussain.
Sekitar tahun 1960-an, kereta yang menjalar dan memenuhi setiap lorong dan lebuh raya di Amerika Syarikat (AS) adalah keluaran General Motors.. Malah syarikat pembuat kereta ini menjadi kebanggaan hampir setiap rakyat AS kerana menguasai pasaran dalam dan juga luar negara. Ketika itu dan sehingga tahun lalu, General Motors adalah gergasi dan tidak ada syarikat lain berani berdepan dengannya.

General Motors menjadi lambang kehebatan AS dalam industri automotif. Pada masa yang sama syarikat yang ditubuhkan pada 1908 itu juga penyukat aras kesombongan dan kebongkakan AS. Siapa pun tidak menjangka General Motors akan kecundang kerana ia mempunyai tapak yang sangat kukuh. Tetapi selepas satu abad, akhirnya gergasi yang digeruni tumbang apabila berdepan dengan krisis ekonomi di AS tahun lalu yang dianggap paling hebat sejak 1930.

General Motors telah membuktikan kehebatan. Malah syarikat ini juga sekali lagi membuktikan bahawa menjadi terhebat dan mengekalkan kehebatan adalah dua cabaran yang sangat berbeza. General Motors telah membuktikan rekod kehebatan dengan menguasai pasaran kereta hampir di seluruh dunia. Tetapi rekod kehebatan tidak memberi penentu untuk terus hebat, apa lagi mendepani gelombang yang hampir meranapkan ekonomi AS.

Perkembangan General Motors terlalu pesat terutama pada tahun 1960-an hingga dua tahun terakhir ini. Pertambahan jumlah kilang dan pekerja berlaku sangat pantas. Tanpa menjangka krisis ekonomi yang paling besar ini, sebahagian besar peneraju General Motors tidak bersiap untuk merentasi zaman meleset.

Kegemilangan silam seharusnya menjadi pertunjuk untuk masa depan. Era awal 1960-an misalnya, kereta model 1966, Chevy Impala Super Sport atau model 1964 Pontiac GTC menjadi "raja jalan raya" di AS dan beberapa negara lain yang menjadi pengimport kereta keluaran General Motors. Kereta- kereta keluaran General Motors ketika zaman emas itu jauh meninggalkan kereta keluaran Jepun atau British. Pada zaman emas, General Motors tidak ada saingan.

Keruntuhan General Motors adalah kesinambungan keruntuhan beberapa syarikat gergasi yang menjadi nadi ekonomi AS. Malah keruntuhan General Motors juga merupakan kekalahan AS menguasai pasaran automotif dunia dan ini membuka peluang luas kepada Jepun untuk mengambil tempat. General Motors menjadi pengeluar kereta terbesar dunia sejak 1931 hingga tahun 2008. Kini pengeluar kereta terbesar dunia dikuasai oleh Toyota dari Jepun selepas General Motors merudum.

Pakar Strategi SMBC Friend Securities di Tokyo, Fumiyuki Nakanishi berkata, krisis yang melanda General Motors hingga menumbangkan syarikat gergasi itu memberi peluang yang sangat baik kepada syarikat-syarikat pembuat kereka Jepun untuk meluaskan perkongsian pasaran (market share) di seluruh dunia termasuk AS. Beliau melihat masalah yang melanda General Motor di sudut positif kerana ini membuka laluan pasaran kepada pembuat- pembuat kereta lain khususnya di luar AS.

Baru-baru ini General Motors telah diisytiharkan muflis dengan menanggung beban hutang RM604.8 bilion iaitu lebih sekali ganda daripada aset yang dimiliki. Setakat ini aset General Motors hanya bernilai RM287.7 bilion. Bagaimanapun kerajaan dibawah pentadbiran Presiden Barack Obama menyelamatkan General Motors dengan permohonan mendapat perlindungan muflis. Kemudian dengan pelan menyelamatkan syarikat itu antara lain kerajaan menyuntik hingga 72.5 peratus ekuiti dan syarikat tersebut menjadi milik kerajaan.

Ada kalangan penganalisis menganggap tindakan muflis ke atas General Motors adalah sebahagian daripada langkah yang diambil oleh pentadbiran Obama untuk mengecilkan operasi syarikat gergasi itu dan meletakkan di bawah kerajaan. Ini merupakan langkah pengstrukturan semula menerusi mahkamah muflis.

Syarikat ini sebenarnya telah mengalami kerugian sekitar RM308 bilion sejak 2004 apabila jualan kereta General Motors di bawah 10 juta buah setahun.Obama dalam satu kenyataan berkata, beliau yakin dengan pelan pengstrukturan dan pemulihan syarikat itu. "Ini akan berjaya sekiranya pengurusan baru yang menerajui General Motors menguruskan dengan cekap," demikian tegas Obama. Beliau juga menyifatkan industri automotif yang akan diledakkan oleh General Motors selepas ini akan menjadi salah satu yang menyuntik pertumbuhan ekonomi AS pada masa depan.

Keruntuhan General Motors seperti semua orang tahu bahawa ini adalah salah satu gelombang krisis ekonomi yang melanda AS tahun lalu. Ini juga beban yang terpaksa ditanggung oleh Obama apabila mengambil alih AS dalam keadaan yang sangat genting.Apabila menjadi sebuah syarikat gergasi yang muflis, walaupun tindakan menyelamatkan dari muflis berjaya dilakukan, catatan kegemilangan General Motors yang lalu hanya menjadi sejarah. Ia juga menjadi sejarah penting kejatuhan AS yang membawa kepada keruntuhan sebuah empayar automobil terbesar dunia. General Motors merupakan syarikat gergasi keempat yang menerima tindakan muflis selepas Lehman Brothers Holding dan Washington Mutual tahun lalu serta WorldCom Inc tahun 2002.

Secara perbandingan, pada tahun 1962 General Motors menguasai perkongsian pasaran sebanyak 51 peratus jualan kereta di AS. Tetapi tahun ini hanya tinggal 23 peratus sahaja. Kejatuhan ini dengan jelas memperlihatkan kereta buatan luar AS telah menguasai pasaran di AS dan juga di negara-negara lain yang menjadi kubu kuat General Motors sebelum ini.

Syarikat ini telah melebarkan sayap membuka kilang membuat kereta di 34 negara dan mengeksport ke 140 negara. Antara negara yang paling banyak menggunakan kereta General Motors selain AS ialah China, Brazil, United Kingdom, Kanada, Rusia dan Jerman.Pada 1962, General Motors mempunyai jumlah pekerja yang dianggap paling besar bagi syarikat di AS iaitu 464,000 orang. Sumbangan syarikat ini mengecilkan angka pengangguran sangat ketara. Tetapi disebabkan kemasukan teknologi dan tugas manusia menjadi semakin kecil, pekerja General Motors hanya tinggal 92,000 orang saja pada tahun ini. Tahun 1962, kereta keluaran syarikat ini mencatatkan jualan 4.2 juta di AS saja tetapi tahun ini hanya tinggal 2.98 juta.

Walaupun Obama terpaksa mengambil jalan pintas yang pantas mengstrukturkan semula General Motors dengan mengecilkan operasinya, langkah ini bukanlah memuaskan hati banyak pihak terutama pihak kesatuan sekerja. Ini kerana pengurangan pekerja dengan sendirinya meningkatkan kadar pengangguran dan dalam belanja sara hidup yang begitu tinggi, kadar pencen yang ditawarkan oleh General Motors pada relatifnya sangat kecil.

Selain berdepan dengan pemegang-pemegang saham yang cerewet, Obama mendepani tentangan besar daripada pihak kesatuan. Menyelamatkan General Motors dengan menyuntik dari dana kerajaan seolah-olah menyambung hayat kelompok tertentu yang berada dalam kelas atasan General Motors. Tetapi suntikan kewangan yang besar itu tidak menjamin syarikat yang dulunya dianggap gergasi kembali digeruni terutama oleh pesaing terdekat Toyota dari Jepun.

Bagaimanapun Pengerusi General Motors, Kent Kresa menyakinkan bahawa, "Kami bukan telah dijual. Ini adalah pelan terbesar untuk masa depan dan sekarang kami cuma melengkapkannya." Tetapi Bloomberg yang memetik kenyataan bekas pekerja General Motors, Ted Dobski begitu sinikal. Katanya, "Rakyat AS memang mahu General Motors muflis," kata Dobski.

SUMBER : UTUSAN MALAYSIA