Isnin, 20 April 2009

10 kereta termahal





PADA harga RM30.45 juta, lelongan coupe klasik Bugati Royale Kellner keluaran tahun 1931 mencipta sejarah jualan kereta paling mahal di dunia. Tetapi oleh kerana tidak lagi terdapat di pasaran, ia tidak termasuk di dalam rekod jualan kereta termahal.

Pembelian kereta antik itu membuktikan setinggi mana harga yang diletakkan pada sesebuah kenderaan, ia tidak menghalang ketaksuban peminat untuk mendapatkan jentera idaman mereka.

Bagi yang memiliki kekayaan melimpah-ruah, tukaran jutaan ringgit untuk sebuah kereta yang berkuasa tinggi dan mewah bukanlah isu besar apatah lagi kereta yang dipandu itu melambangkan kedudukan mereka yang ‘tinggi’ dalam masyarakat.

Disenaraikan antara kereta-kereta mewah paling mahal di Amerika Syarikat dan harga yang dinyatakan juga dalam dollar AS. Mari kita lihat apakah keistimewaan di sebalik kereta idaman semua ini.

Buggati Veyron AS$1,192,057

Dikenali sebagai Veyron. Jentera berkuasa yang mirip seperti kereta super hero ini adalah yang termahal di pasaran setakat ini.

Veyron berada satu tangga di bawah kereta paling laju di dunia iaitu SSC Ultimate Aero dengan kelajuan maksimum 407 kilometer sejam (km/j). Satu perempat daripada kelajuan bunyi.

Menggunakan enjin W16-16 silinder yang dilengkapi empat pengecas turbo dan pacuan empat roda penuh, pecutan kereta ini mampu mencapai kelajuan 100 km/j dalam masa 2.46 saat.

Hanya 300 unit kereta super berkapasiti 7,993 cc ini dikeluarkan oleh syarikat automotif Jerman, Bugatti Automobiles SAS.

Proton Exora




KELAHIRAN Proton Exora menandakan pencapaian terbaru Perusahaan Otomotif Nasional Bhd. (Proton) dalam industri automotif negara dengan penghasilan kenderaan pelbagai guna (MPV) serba baru.

Kejayaan itu juga mencatat sejarah tersendiri bagi Proton dalam industri apabila berjaya merealisasikan kenderaan ini dalam tempoh 18 bulan, bermula dari konsep idea hinggalah kepada tersergamnya sebuah jentera yang boleh mengangkut tujuh penumpang ini.

Terdapat dua varian yang kedua-duanya menggunakan transmisi automatik iaitu M-Line (RM69,998) dan H-Line (RM75,998). Inilah yang dimaksudkan sebagai memenuhi cita rasa rakyat. Pelanggan mahukan sebuah kenderaan yang boleh mengangkut seberapa ramai sanak-saudara dan boleh pula dimiliki pada harga yang sangat berdaya saing.

Difahamkan transmisi manual bakal diperkenalkan kemudian dan penulis automotif yang dijemput khas oleh jurutera R&D Proton telah memandu uji varian transmisi manual yang secara ringkasnya, memiliki output kuasa yang memuaskan untuk enjin 1.6 liter seperti Exora.

Daripada segi penggayaan automotif, prinsip fungsi utama yang dipegang oleh jurutera-jurutera Proton ialah model itu hendaklah mampu mendatangkan keseronokan dan unik tetapi melangkaui jangkaan pelanggan serta meningkatkan kecekapan dan mengurangkan tempoh pembangunan reka bentuk menerusi pelaksanaan bersilang kaedah digital dan tradisional.

Sebelum pelancaran rasminya pada Rabu lalu, ramai yang bertanya mengenai rupa sebenar Exora ini. Apakah ia macam Toyota Wish? Mitsubishi Grandis? Satu sahaja cara menjawab yang mungkin boleh memuaskan hati ialah sebagai sebuah MPV, Exora tidak boleh lari dari acuan MPV. Cuma saiznya menyaingi Toyota Innova yang bukan pun MPV totok disebabkan kerangka badannya dikongsi dengan Hilux dan Fortuner.

Jeriji depan yang berlogo kepala harimau merupakan ciri standard Proton yang diguna pada model-model lain. Kaedah ini adalah amalan standard syarikat kereta lain bagi 'menegaskan' keseragaman sesuatu jenama.

Aspek menarik pada lampu hadapannya ialah ia seakan 'mata terbonjol' yang memastikan sinaran cahaya yang lebih terang pada waktu malam. Bamper depan juga direka bagaikan otot kembang yang memaparkan imej teguh dan kuat. Sejajar dengan trend masa kini, lampu isyarat terdapat pada cermin sisi.

Dari sudut belakang pula, lampu LED yang bergaya pasti memudahkan pemandu lain bukan sahaja dapat melihat dengan jelas tetapi juga pantas mengenal pasti Exora daripada MPV lain.

Apabila masuk ke dalam, pandangan mata akan pertama sekali bertumpu pada papan pemuka. Gabungan warna kelabu memberi kesan yang sesuai dalam cuaca panas tropikal Malaysia dan tidak akan memantul bayang pada cermin.

Kotak simpanan depan (glove box) pula terdapat dua iaitu atas dan bawah dan satu cangkuk terdapat pada tepi kotak tersebut, yang disifatkan sebagai memenuhi gaya hidup orang Malaysia yang suka membeli bekal. Ia boleh digunakan untuk mencangkuk beg plastik, bekas air minuman teh tarik dan sebagainya.

Untuk sistem audio visual, Proton memilih jenama CLARION yang mempunyai kemudahan Bluetooth bersepadu iaitu pemandu boleh memasang telefon bebas tangan menerusinya. Cuma, ia mungkin kurang selesa jika terdapat penumpang lain mendengar sama perbualan terbuka itu! Punat kawalan terletak pada stereng roda bagi memastikan tangan pemandu tidak perlu dilepaskan pun.

Untuk varian H-Line, pelanggan akan menikmati pemain DVD beserta paparannya. Varian H-Line juga menawarkan sarung kerusi kulit, lampu kabus depan, spoiler belakang, tempat rehat tangan kerusi depan, cruise control, sistem navigasi satelit dan cermin gelap.

Dari sudut keselamatan pula, beg udara berkembar di hadapan adalah ciri standard pada kedua-dua varian.

Exora menggunakan enjin Campro CPS 4 silinder, DOHC 16 injap 1.6 liter yang mampu menjana 125 kuasa kuda pada 6,500 revolusi per minit (rpm) dan kuasa terjahan 150 Newton meter pada 4,500 rpm.

Ia boleh mencapai kelajuan maksimum 165 km sejam walaupun uji pandu penulis automotif mengesahkan ia boleh ditekan hingga 170 km/j di kawasan Genting Sempah. Tangki penuh MPV ini ialah 55 liter.

Dari aspek pengendalian, uji pandu khas untuk penulis automotif mendapati kenderaan tidak 'terbuang' semasa mengambil selekoh dalam kelajuan tinggi. Ini didorong oleh sentuhan Lotus dalam aspek tersebut.

Dibina untuk mengangkut tujuh penumpang dengan selesa, Exora memiliki corong pendingin hawa pada setiap baris tempat duduknya yang juga cukup untuk orang dewasa daripada segi keluasan kerusi dan ruang kaki pada baris ketiga. Kerusi bersarung kulit terdapat pada varian H-Line.

Exora juga boleh dijadikan kenderaan pengangkut dengan kerusinya boleh diubah kepada enam kedudukan, termasuk dirata sepenuhnya untuk kerusi tengah dan terakhir.

MPV Proton ini juga dipasang dengan Modul Kawalan Badan (BCM) iaitu gabungan pelbagai fungsi elektronik kenderaan seperti kunci sepusat, penggera keselamatan, lampu kecemasan dan penentu masa ke dalam satu modul kawalan.

Sistem BCM ini meningkatkan lagi keselamatan kerana pintu pemandu hanya terkunci dan terbuka secara automatik apabila kunci dicabut.

BCM juga mempunyai keupayaan untuk melakukan diagnostik bagi memastikan status kegagalan sesuatu fungsi kawalan serta meningkatkan keselamatan kereta dan meningkatkan hayat bateri menerusi aliran parasitik yang rendah..

Daripada segi keselamatan, ia dipasang dengan dua beg udara di bahagian pemandu dan penumpang depan, sistem anti kunci brek yang pintar dan sistem edaran tenaga brek elektronik (EBD).

Exora dibina di atas platform serba baru menggunakan teknologi Hydroforming, iaitu meluaskan tiub besi menerusi tekanan air dari dalam pembuatan bentuk acuan.

Bahagian-bahagian kosong dibentuk dengan bentuk luaran yang rumit dan perwatakan khas yang membolehkan pelbagai pilihan digunakan pada masa depan dalam industri automotif.

Kerangka kecil (sub frame) Exora adalah sebahagian daripada Struktur Depan kerana ia menyumbang kepada Keutuhan Badan dan Keselamatan Pasif. Ia juga menyokong enjin kenderaan dan beberapa komponen chasis selain melindungi penumpang semasa perlanggaran berdepan.

Produk menggunakan teknologi Hydroform memiliki kelebihan daripada segi berat yang rendah, keutuhan tinggi semasa berlanggar, sambungan patri yang kurang dan bermakna kurang karat, bahagian-bahagian individu yang sedikit dan kejituan tinggi.

Terdapat enam warna ditawarkan sebagai pilihan kepada pembeli iaitu Putih (Solid White), Biru (Blue Haze), Coklat Gelap (Pyrite Brown), Biru Muda (Gaia Blue), Hitam (Tranquility Black) dan Perak (Genetic Silver).

Fakta tentang Proton Exora :

transmisi - automatik (M-Line,H-Line)

harga -M - LineRM69,998 / H-Line RM75,998

audio visual - jenama CLARION

enjin- Campro CPS 4 silinder, DOHC 16 injap 1.6 liter

warna - Putih (Solid White), Biru (Blue Haze), Coklat Gelap (Pyrite Brown), Biru Muda (Gaia Blue), Hitam (Tranquility Black) dan Perak (Genetic Silver).