Ahad, 15 Mac 2009

Pemilik Accord berhimpun

Pemilik Accord berhimpun
Oleh Mohd Razlan Salleh
mrazlan@nstp.com.my



JENAMA Honda memang mempunyai peminat tersendiri termasuklah jentera berusia mahupun paling berkuasa.

Selain model Civic, antara model Honda yang menjadi perhatian sudah pastilah Accord yang mula dilancarkan kira-kira 33 tahun lalu.


Baru-baru ini, komuniti online pemilik Honda Accord di negara ini, myhavoc.net mengadakan perhimpunan pemilik Honda Accord di Prima Avenue, Cyberjaya.

Perhimpunan dihadiri lebih 70 pemilik Honda Accord daripada beberapa kelab kereta model berkenaan seperti Myhavoc, Accordburuk, NHOC dan Zerotohundred.com berjaya mewujudkan suasana harmoni selain mengeratkan silaturahim sesama ahli.

Pada perhimpunan itu, pelbagai variasi model Honda Accord bermula daripada generasi pertama sehingga ke generasi ketujuh hadir memeriahkan program terbabit.

Rata-rata peserta yang hadir tidak terbatas sekitar Lembah Klang semata-mata, malah program berkenaan turut mendapat perhatian pemilik Honda seluruh negara yang berkumpul di beberapa lokasi sebelum berkonvoi ke Cyberjaya.

Sebaik tiba di Cyberjaya, peserta mula berhimpun di ruang meletak kereta Prima Avenue dan menikmati makan tengah hari beramai-ramai di kafe berhampiran.

Menurut penganjur, pihaknya berharap perhimpunan sebegini dapat dijalankan setiap tahun di lokasi berbeza sebagai usaha komuniti kelab selain meluaskan pengetahuan.

Model Accord menjadi salah satu model terlaris Honda di seluruh dunia dan semakin berkembang menjadi kereta sejagat dengan pelbagai anugerah dan inovasi.

Honda Accord dijual di 160 negara dengan jualan terkumpul sebanyak 16 juta unit bermula dari 1976 hingga 2007.

Terbaru, generasi kelapan Accord dilengkapi enjin pertama enam silinder (V6) 3.5 liter i-VTEC dengan teknologi VCM.

Tiada ulasan: