Jumaat, 7 Ogos 2009

VIVA ELITE



GOLONGAN profesional muda yang mahukan kenderaan lebih sporty, kompak dan menjimatkan minyak menjadi taruhan terbaru Perodua bagi model Viva Elite yang dilancarkan, minggu lalu.

Model berkuasa 1.0L itu didatangkan dengan beberapa perubahan luaran dan dalaman termasuk lampu antikabus hadapan serta pemantul cahaya bampar di belakang.

Pengarah Urusan Perodua, Datuk Syed Abdul Hafiz Syed Abu Bakar, berkata model terbaru itu melengkapkan variasi Viva yang bermula daripada model BX660 sehingga ke versi premium, Elite.

"Sebanyak tiga model ditawarkan iaitu Elite manual berharga RM37,900 dan automatik (RM40,900) serta versi premium, Elite EZi berharga RM44,900 seunit.

"Berdasarkan kepada kelebihan terbaru Viva ini, Perodua yakin mampu mensasarkan jualan sehingga 2,600 unit Elite sebulan," katanya.

Hadir sama Pengarah Urusan Perodua (Pengeluaran), Osamu Oaki.

Antara ciri luaran dipertingkatkan termasuk gril hadapan baru, rekaan bampar lebih kemas, skirting sisi dan padanan rim bersaiz 14 inci.

Selain itu, ruang dalaman turut mengalami perubahan fabrik kerusi dan panel pintu selesa, papan pemuka tengah baru, poket belakang kerusi hadapan selain pemain cakera padat tunggal dengan format MP3, WMA.

Serentak pelancaran model Viva Elite itu, Perodua turut menawarkan model asas BX660 pada harga RM25,800, EX660 (RM28,900), Viva 850 (RM32,900) dan Viva 1.0L berharga RM36,900.

"Dengan semua varian ini, Perodua yakin memenuhi keperluan pengguna tempatan yang mahukan kenderaan selesa, murah dan menjimatkan petrol.

"Viva terbukti menjadi antara model terlaris Perodua dan dianggarkan 144,500 unit model ini sudah terjual sejak dilancarkan dua tahun lalu sebelum model Myvi," katanya.

Sebanyak lima warna ditawarkan iaitu Midnight Blue, Ebony Black, Pearl Jade, Glittering Silver dan Putih Solid.

SENARAI HARGA VIVA ELITE :

* Perodua ViVA Elite M/T - RM37,900
* Perodua ViVA Elite A/T - RM40,900
* Perodua ViVA Elite EZi - RM44,900
* Perodua ViVA 1.0 AT - RM36,900
* Perodua ViVA 850 MT - RM32,900
* Perodua ViVA 660 EX MT - RM28,900
* Perodua ViVA 660 BX MT - RM25,300

Tiada ulasan: